Friday, August 30, 2013

Syawal 1434H



Salam buat semua.

Syawal sudah berada di penghujungnya. Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin buat anda semua. Alhamdulillah kehadiran Syawal kali ini disambut secara sederhana tetapi tetap meriah. Kami panjatkan doa buat arwah ayah disana, semoga dikau tenang dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang disayangiNya.

Syawal kali ini disambut bersama keluarga mertua di Felda Kg New Zealand, Maran, Pahang. Kami beraya bersama-sama ipar duai serta anak-anak buah yang lain. Sungguh meriah. Acara tetap adalah masak memasak dan makan beramai-ramai. 

Sehari sebelum Syawal, saya mengalami kecederaan ringan sedikit. Haha, mungkin juga bagi orang lain sekadar luka biasa, tetapi bagi diri ianya sangatlah teruk, al maklum lah tidak pernah mengalami kecederaan sebegini rupa. Saya telah merajinkan diri untuk menolong mertua di dapur dengan "volunteer" untuk mesin kelapa, konon-konon macam saya ini selalu la buat. Kan tuhan dah tunjuk, terus kena jari abis jugak separuh kuku saya....huwaaaaaaa. nak tahu satu rahsia tak? Bile kena jari tuh saya terus ke toilet basuh jari tanpa melihat keadaannya, dan berlari kearah suami didalam bilik yang ketika itu sedang berbaring. Terus menerpa sambil.."yangggggggg.....sakit sangat.....darah banyak ni,...macam mana?"....dia yang terkejut terus la melihat sambil tanya.."ayang buat apa nie?...." terus bangun cari minyak gamat. Masa ini lah minyak yang dicari tidak ada. Saya pula ketika itu, sudah menangis menitis air mata...(maaf pada yang mengenali saya, memang akan tahu saya amat kememeh dan tidak tahan sakit walaupun nampak sangat kuat dan kental) tiba-tiba mertua saya masuk bilik sambil membawa minyak gamat dan membebel sebab apa saya rajin-rajin memesin kelapa kerana itu kan kerja lelaki. Ini lah yang dikatakan , kalau sudah hendak jadi sebab telah menjadi musabab. Hanya Dia yang mengetahui segalaNya. Saya yang menangis tu terus tidak keluarkan air mata dan duduk diam-diam sambil ketap gigi je tahan sakit. Konon-konon nak tunjuk la saya ini sangat "cool". Haha. Memang tak boleh blah kan....layankan aje saya ini.



Kami beraya di kampung mertua sampai hari raya ketiga, tengahari kami sudah bersiap-siap berangkat balik ke kampung saya pula di Wakaf Bharu,Kelate. Gembira tak terkira sebab dapat berjumpa keluarga saya. saya rindu mama saya dan adik-adik yang lain. Dalam perjalanan ke Kota Bharu, kami singgah beraya di rumah adik saya Umi di Marang. Makan-makan dan beraya terus kami bertolak balik ke kampung.


Ketika dalam perjalanan ke Kota Bharu, tiba-tiba en suami telah mengadu tentang matanya yang semakin berpasir dan kabur. Sehingga dia terpaksa berhenti dan saya terpaksa mengambil alih tugas "driver". Kesian en suami. 


Sebelum sampai dirumah mama, kami sempat singgah makan kenduri sepupu saya di Kota Bharu. Selamat pengantin baru jea, semoga kekal hingga ke akhir hayat.Ameen.


pengantin....Teringat memori tujuh tahun yang lepas. rasanya seperti baru je kami kawin. :)

Notakaki: InsyaAllah kalau dipanjangkan umur dan diberi kesempatan saya nak berkongsi mengenai impian saya. 

Thursday, August 1, 2013

Tetap Yang Terindah


Sudah ku maafkan bila kau begitu
Biar sudah tak ada ikatan untuk kita
Namun kan tetap ada 
Rasa kasih sayang tak akan pudar


Tetaplah menjadi yang terindah 
Walaupun kita sudah terpisah
Biar semua menjadi kenangan 
Abadikan untuk kita


Semoga kita tetap saling bisa
Memahami sebuah erti cinta
Biar semua menjadi tertunda
Sudah inilah adanya

Biar sudah tak ada rasa kasih sayang
Tak akan pudar dan tak akan hilang



Thursday, June 6, 2013

Isra' Mikraj 1434H Satu Titik Permulaan

Salam buat semua muslimin dan muslimat;

Salam Isra' dan Mikraj 1434H.
Saya tidak lah mahu mengulas sewenang-wenangnya mengenai Isra' dan Mikraj. Bukan tidak tahu tapi saya cuma sedikit risau jika saya tersalah penyampaian. Jadi saya sekadar kongsikan apa yang saya baca dan tahu melalui ILUVISLAM. Terima kasih kepada ILUVISLAM dan selamat membaca buat semua.


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.
01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
04.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

Sesungguhnya kita ini umat akhir zaman. Jika difikirkan kita sebenarnya sudah mendapat segala petunjuk untuk dijadikan panduan buat kita agar tidak terus tersasar dari garis panduan hidup yang telah Rasulullah saw kongsikan sewaktu peristiwa Isra' Mikraj itu. Antara  ujian dan mukjizat yang Allah swt kurniakan kepada Rasulullah saw sempena Isra' dan Mikraj ini sebenarnya tersembunyi satu rahsia besar iaitu bertapa Dia sebenarnya sangat maha Menyayangi dan Mengasihani kita ini, kalau tidak masakan begitu banyak "hint" yang telah Dia tunjukkan pada diri kita ini. Jadi muhasabahlah diri masing-masing termasuk juga diri saya ini. Fikirkan jihad fisabilillah apa yang telah kita lakukan. Sekadar renungan.

notakaki : masih belum dapat siapkan draft entri tentang persahabatan. Indah sungguh persahabatan itu. Alhamdulillah saya telah menyahut jihad fisabilillah saya yang utama iaitu memohon maaf dari semua orang terutama sekali kawan-kawan yang pernah hadir mewarnai hidup saya. Tidak sedikit pun jatuh maruah saya mahupun ego saya berbuat demikian. Semoga Allah swt merahmati kita semua. 

Wednesday, June 5, 2013

Ceritera Kerjaya - " Gamble " nya aku

Salam buat semua.

Kali ini saya akan berkongsi mengenai kisah kehidupan saya sebagai seorang Unit Trust Consultant(UTC) di syarikat unit amanah No 1 di Malaysia. Saya mula ceburkan diri didalam bidang ini melalui teman baik yang juga saya anggap seperti adik saya Arlina. Dimana pada masa itu, demi Allah swt saya memang tidak ada sebarang maklumat mengenai apa itu unit trust. Masih ingat lagi waktu Business Opportunity Preview(BOP) yang pertama kali saya hadir, telah memberikan kesan yang amat bermakna buat saya kerana dari situ lah bermulanya titik tolak kerjaya saya sebagai utc di syarikat C. Tanpa asas, saya memulakan langkah pertama dengan berhenti kerja dalam masa 24 jam demi untuk berjaya seperti Puan F yang berkongsi kisah hidup dia sebelum bergelar utc dan selepas menjadi utc. Di kala itu kisah Puan F itu seakan-akan sangat seperti kisah hidup saya ini.

Hanya berbekalkan azam untuk berjaya dan kaya saya mulakan langkah tanpa menoleh lagi. Tanpa saya sedari saya sebenarnya sangat cetek ilmu tentang unit trust dan juga yang paling syahdu waktu itu, saya sebenarnya tidak mempunyai sebarang simpanan. Beginilah nasib kita kalau kita mengikut nafsu dan darah muda. Tetapi bagi diri saya di ketika itu, duit simpanan dan ilmu yang sedikit itu bukanlah penghalang untuk diri saya terus maju. Dengan semangat yang kental, di sokong sepenuhnya oleh teman lelaki saya waktu itu dimana sekarang dia adalah suami saya serta Arlina, kami mula mengorak langkah yang pantas. Bukan niat nak puji diri kami, tetapi sememangnya kami bangga dengan diri kami kerana tanpa bantuan sepenuhnya dari upline-upline kami telah berjaya membuat sales lebih dari RM300,000 pada bulan pertama dengan komisen sebanyak RM9000. Komisen ini saya berkongsi dengan Arlina. Senyum masa tu pun hingga ke telinga, dalam tidur pun senyum kerana dalam hidup saya ketika itu tidak pernah dapat merasai pegang duit sebanyak itu. Kalau anda ditempat saya bagaimana?

Setelah beberapa bulan di syarikat C, hasil dari membuat kajian dan bacaan saya membuat keputusan untuk berhijrah ke syarikat unit amanah No 1 di Malaysia. Bukan niat saya memperkecilkan kebolehan syarikat C tetapi demi masa depan pelanggan dan saya merasakan kerjaya ini adalah kerjaya seumur hidup saya jadi saya tekad ingin mencari sebuah syarikat untuk faedah jangka masa panjang terutama sekali buat kebaikan pelanggan dan juga tingkatkan personal development diri saya sendiri. Alhamdulillah semenjak berhijrah, kehidupan saya dan keluarga semakin menampakkan kemajuan.

Sehingga kini saya telah mempunyai lebih dari 400 pelanggan. Perlu saya nyatakan, seawal penglibatan saya dalam bidang ini saya tidak mempunyai sebarang contact atau leads tetapi saya berusaha keras mencari database clients tidak kira dimana saja. Ada kala saya meminta dari pelanggan-pelanggan yang membuat pelaburan denagn saya, dan adakalanya saya membuat face to face di mana saya pergi kemana saja untuk bertukar business card dengan sesiapa saja. Dari seorang  hingga bertambah ke 400 lebih clients. Benarlah kata Allah swt;

"Man jadda wajada, wa man zara’a hasada, wa man yajtahid yanjah " adalah prinsip meraih kejayaan dan keuntungan yang berasaskan kepada usaha yang bersungguh-sungguh oleh seseorang Muslimin dan Muslimat di dalam hidupnya dengan berpandukan kepada ajaran Islam.

مَنْ جَدَّ وَجَدَ - Man jadda wajada bermakna "sesiapa yang berusaha (Inshallah) akan mendapat apa yang diusahakannya".

Saya sebenarnya tidak membuat sebarang cerita dongeng pun di sini, kepada anda diluar sana yang masih tercari-cari kerjaya atau peluang untuk majukan diri sendiri serta keluarga, sila lah berikan diri anda peluang untuk mencuba bidang ini kerana jika bidang ini sememangnya sangat luas dan sentiasa ada rezeki untuk diri kita. Memang tidak mudah tetapi jika berjaya mengharunginya InsyaAllah kemanisan kejayaan yang dikecapi itu sangat bermakna. Jika perlukan bantuan, saya dan rakan-rakan lain akan sedia bantu anda.





InsyaAllah nanti saya akan kongsikan tentang percutian percuma yang ditaja sepenuhnya oleh pihak syarikat. Impian saya sebenarnya untuk berjalan ke negara orang telah allah swt makbulkan. Jika anda mempunyai impian dan mimpi yang besar, jom kita sama-sama lakukan untuk mendapatkannya.

Mengambil kata-kata dari Aristotle Kita adalah apa yang kita lakukan secara berulang kali. Justeru, kecemerlangan bukanlah suatu tindakan tetapi satu tabiat” kerana itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memajukan diri kita sendiri. Hidup ini adalah tanggungjawan dan amanah Allah swt jadi corakkan sebaiknya. 

notakaki : Dalam kehidupan kita keluarga,kerjaya dan persahabatan merupakan 3 perkara yang terpenting. Persahabatan yang ikhlas membuahkan keharmonian serta kefahaman, saya mungkin salah dan juga mungkin betul. wallahualam.


Tuesday, June 4, 2013

Keluarga - Suami - Anak3 : Cinta Hati Ketat2 Sampai Mati

Salam buat semua pembaca;

"Keluarga sebenarnya sendi dan asas kepada sesebuah masyarakat. Dengan yang demikian ia dijadikan sukat-sukat. Jika berkecai sesebuah keluarga maka berkecailah masyarakat dan jika aman damai sesebuah keluarga maka aman damailah masyarakat berkenaan. Pembentukan keluarga adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih besar. "

Hai, entri kali ini tentang keluarga kecil saya. Hidup kita ini semestinya sangat terisi dengan kehadiran keluarga. Tidak dapat saya membayangkan jika saya tidak mempunyai mereka-mereka ini didalam hidup saya walaupun sesaat. Sesungguhnya Allah swt itu maha adil, Dia kurniakan keluarga yang memang akan melengkapi dan mewarnai hidup kita kerana hubungan silaturahim antara kita dan keluarga tidak terputus sekadar didunia tetapi berpanjangan hingga ke alam sana. Kukuh dan sucinya ikatan ini. 


Dari perkenalan di sekolah menengah berasrama penuh di Kuala Lumpur, hubungan kami yang "on" dan "off" ini akhirnya telah membawa kami ke satu komitmen hidup sehingga akhir hayat kami. Itu janji kami, semoga Allah swt juga merahmati janji perhubungan kami ini. Bagi saya yang naif dan serba kekurangan ini, kehidupan suami&isteri itu sebenarnya sangat kompleks. Ia tidak akan dapat disamakan dengan hubungan pasangan A dan pasangan B hatta pasangan C sekali pun. Dan sesiapa diantara kita manusia yang serba kekurangan ini tidak akan mampu menghakimi setiap pasangan masing-masing kerana anda semua tidak pernah berada di situasi masing-masing. Luaran peribadi manusia adalah sekadar "surface" tidak nampak sedalamnya sekalipun sebab itulah Allah swt kadang-kadang membuka aib seseorang untuk dijadikan pengajaran buat yang lain. Jangan sekali-kali kita lupa akan itu kerana mungkin suatu hari nanti aib diri kita pulak akan dibukaNya. Berdoalah selalu agar aib kita akan dipeliharaNya. 

Berbalik kepada suami,kawan dan sahabat saya ini, seluruh hidup saya setelah berkahwin selama ini sememangnya saya telah dedikasikan kepada insan bernama Lokman Tamziz. Apa sahaja yang dilakukan,kami akan lakukan bersama-sama tidak kira diwaktu jatuh dan bangunnya kami serta apa jua keadaan sekalipun. Alhamdulillah syukur ke hadratNya kerana setakat ini kami masih mampu mengharungi badai-badai yang melanda walaupun kadang-kadang ianya agak perit. Kami juga mempunyai "circulation" kawan yang sama. Keadaan ini sebenarnya ada pro dan kontra. Jika ada kesempatan nanti di lain entri saya akan bercerita mengenai pengalaman saya tentang ini. Tidak kira dalam keadaan mana pun, saya tidak pernah hilang rasa hormat saya pada insan ini kerana bagi saya dia adalah segalanya. Saya sangat bersyukur kerana Allah swt telah memakbulkan doa saya untuk bersamanya (sebenarnya ada pengalaman yang "suweet" sangat, insyaallah nanti saya kongsikan ye). 


Hasil perkahwinan kami selama 7 tahun, kami dikurniakan 3 hero yang sangat comel. Airil Tamziz a.k.a abang, 6 tahun yang sangat keletah dan selalu saja ada idea untuk menghiburkan mama disetiap masa. Alhamdulillah syukur sangat padaNya, semenjak kami menghantar abang ke Brainy Bunch Islamic Montessori (BBIM) dari tahun lepas, abang semakin maju dalam ber"speaking" walaupun masih tidak petah seperti kanak-kanak yang lain. Hero kedua kami Aisy Tamziz a.k.a wanshi, 5 tahun pelengkap kehidupan abang serta kehidupan kami sekeluarga. Wanshi sangat fokus pada hobi yang diminati saja. "Second child syndrome" ya, memang tidak dapat dinafikan sindrom ini memang ada pada dirinya menjadikan dia semakin istimewa di mata kami dan juga bibik. Sangat manja berbanding abang yang sangat "independent" dan selalu ingin dapatkan perhatian tidak kira dari sesiapa pun. Kehadiran hero kami yang ketiga Aidin Tamziz a.k.a adik, 1 tahun memang menggamatkan rumah dengan perangai yang sangat berbeza dari dua abangnya. Adik sebenarnya adalah hero segala hero didalam istana kami ini. Tidak betah langsung untuk diam, ada saja aktiviti yang ingin dilakukannya. Silap haribulan kami semua yang menjaganya memang boleh kurus lah dengan hanya ke hulu ke hilir mengikut haluan dan aktivitinya.

Pada saya keluarga sebenarnya adalah asas kepada pembentukan masyarakat atau lebih besar lagi negara yang bertamadun kerana segalanya bermula dari keluarga. Sebagai ibubapa kita sepatutnya mendidik anak-anak dengan cara kita sendiri tetapi berteraskan rumpun dan asas yang kukuh. Sentiasa ingat ada dua perkara dalam mendidik anak-anak supaya tidak "spoil' iaitu "Priority & Privellege". Saya dan suami memahami perkara ini adalah asas buat anak-anak kami supaya tidak terikut-ikut dengan kemewahan yang orang lain ada. Yang kami akan pegang seumur hidup kami dan juga anak-anak adalah "ISLAM & MELAYU" kerana walau dimana kita berada jika asas pegangan dan rumpun ini tetap kukuh InsyaAllah kita akan selamat dan tidak akan lupa jati diri kita selamanya. Semoga kita semua akan sentiasa diberikan petunjuk dan hidayah dalam mendidik anak-anak dan membimbing keluarga bagi suami ke arah ke jalanNya, InsyaAllah.

notakaki: Indahnya hidup jika segalanya berjalan lancarkan? Dan mempunyai kerjaya yang baik. InsyaAllah nanti saya kongsikan kisah kerjaya saya. 

Saturday, May 25, 2013

Salam Pembuka Bicara



"Di sana mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa. Tetapi mereka mendengar ucapan salam." (Al-Waqi'ah:25&26)
"(Kepada mereka dikatakan): "Salam," sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang."(Yaasin:58) 
Assalamualaikum buat semua pembaca blog sophie-mama. 


Pertama sekali syukur ke hadratNya kerana dapat lagi kembali berblogging seperti dulu tetapi dengan nama dan blog yang baru. "Come back" sebenarnya yang lebih tepat.  Semoga "come back" ini akan dapat menolong dan membantu diri saya untuk mengisi masa lapang yang ada disamping menguruskan anak-anak dan keluarga serta tugas sebagai perunding kewangan di syarikat perunding unit amanah no 1 di Malaysia. InsyaAllah, kerana saya memang percaya Allah swt tidak akan lupakan kita selagi kita tidak pernah lupakan Dia.

Selalulah menyebutnya tidak kira dalam apa jua situasi pun ;

"Hasbunallah wa ni'mal wakil" -Cukuplah Allah swt sebagai pelindung kami dan DIA adalah sebaik-baik pelindung.


Rasanya sehingga ini dulu, semoga kita berjumpa lagi di entri yang akan datang jika diizinkanNya.



notakaki: nantikan entri seterusnya, kisah keluarga saya yang kecil bersama 3hero comel